Klon P.Ramlee, Fairuz Misran Meninggal Dunia

Foto: Tergini.com

LABUAN, 8 September- Bintang P.Ramlee 2012, Fairuz Misran dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 1.30 petang tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 38 tahun di Hospital Licious Labuan.

Berita pemergian penyanyi itu disahkan oleh abangnya, Ruzaidi Misran di laman Facebook.

“Innalillahiwainnahirojiun. Menerima perkhabaran sedih bahawa adik yang disayangi Fairuz Misran telah kembali ke Rahmatullah baru sebentar tadi.

“Mohon semua agar mendoakan dan sedekahkan Alfatihah buat Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang yang beriman. Al Fatihah,”menurut hantaran tersebut.

Fairuz dikenali dengan gelaran klon P. Ramlee kerana mempunyai rupa paras dan vokal mirip dengan seniman berkenaan.

Allahyarham juga pernah menjuarai pertandingan bintang P. Ramlee peringkat kebangsaan pada 2012.

Fairuz dilahirkan di Sandakan, Sabah namun dibesarkan di Papar sebelum menetap di Labuan.