Agong Terharu Disambut Meriah 10,000 Penduduk Lawas

Foto: Berita Harian

MIRI, 8 September- Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diteruskan untuk hari keenam.

Rombongan baginda berdua berkenan berangkat ke Brunei, selepas singgah di Lawas, Sarawak malam tadi.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Ibni Sultan Hassanal Bolkiah serta isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Pengiran Salleh Ab Rahaman.

Istana Negara memaklumkan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat tiba di hotel penginapan di Bandar Seri Begawan, Brunei pada 11.20 malam selepas melalui Pos Kawalan Imigresen Labu Temburong, Lawas.

“Seri Paduka berdua bersemayam di Bandar Seri Begawan sebelum menyambung Kembara Kenali Borneo ke bandar raya Miri, esok,” menurut hantaran tersebut.

Terdahulu, ketika tiba di Lawas malam tadi, pasangan diraja itu diiringi Menteri Pengiring, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Timbalan Perdana Menteri, menerima sambutan sangat meriah oleh kira-kira 10,000 rakyat di Lawas yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan merakamkan gambar kenangan bersama baginda berdua.

Dalam titah ringkas Al-Sultan Abdullah, baginda menzahirkan rasa terharu dengan sambutan hangat rakyat di bandar paling utara di Bumi Kenyalang itu.

Baginda berdua tiba pada kira-kira pukul 8 malam disambut oleh Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Esok, Kembara Kenali Borneo akan memasuki semula Sarawak menerusi Miri dan beberapa acara sambutan turut dirancang sebelum bergerak ke Bekenu dan Bintulu pada keesokannya.

Kembara Kenali Borneo di Sarawak turut melibatkan persinggahan di Sibu, Sri Aman dan Kuching sebelum dilengkapkan dengan perjalanan ke Telok Melano, Lundu di selatan Sarawak pada 13 September ini.

Kembara Kenali Borneo yang bertujuan merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak, telah mengakhiri pengembaraan di Sabah semalam yang bermula pada 3 September lepas.

Pengembaraan selama 11 hari itu melibatkan jarak perjalanan sejauh 2,154 kilometer dengan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.