KJ sekali lagi buat lawatan mengejut

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin sekali lagi membuat lawatan mengejut dan kali ini bertempat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban hari ini.

Difahamkan, Ahli Parlimen Rembau itu meluangkan masanya kira-kira selama satu jam di hospital berkenaan.

Ketika lawatan tersebut, beliau sempat melawat beberapa wad hospital selain turut bertanyakan keadaan semasa melibatkan kakitangan hospital.

Khairy dilihat turut menyapa keluarga pesakit yang hadir ke hospital.

Menerusi perkongsian di laman Twitternya hari ini, lawatan mengejut berkenaan turut melibatkan Pusat Perubatan Mawar iaitu sebuah hospital swasta di Seremban.

Sebelum ini, beliau yang lebih mesra disapa KJ turut mengadakan lawatan mengejut di Hospital Kajang pada September lalu.

Tindakan beliau itu juga menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen malah ada yang memuji langkahnya menjalankan pemeriksaan mengejut.