Polis mohon ekstradisi Sajat kepada Thailand

POLIS telah menghantar permohonan kepada Thailand bagi tujuan ekstradisi usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, permohonan itu telah dikemukakan terhadap negara itu termasuk negara ketiga yang dipercayai menjadi lokasi seterusnya.

Ujarnya, usaha itu bagaimanapun tertakluk kepada proses undang-undang setiap negara terutamanya bagi negara dimana dia berada.

“Pada masa ini kita sedang menunggu keputusan selanjutnya dari pihak berkuasa Thailand dan negara ketiga sebelum proses membawa balik Sajat dilakukan.

“Sekiranya tiada masalah, proses membawa pulang Sajat dilaksanakan mengikut saluran undang-undang antarabangsa,” katanya hari ini

Sebelum ini, Abd Jalil turut memberitahu, Malaysia dan Thailand terikat dengan faktor triti yang membolehkan proses untuk membawa pulang orang yang dikehendaki atau penjenayah buruan dilaksanakan.

Sebelum ini, media melaporkan, usahawan kosmetik berkenaan dikatakan mempunyai kad pelarian Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi tujuan berpindah ke Australia.

Mahkamah Tinggi Syariah pada 23 Februari lalu, mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.