Kapal Dayang Topaz karam di laut, seorang maut dan yang lain terselamat

EMPAT anak kapal Dayang Topaz yang karam 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri, Sarawak hari ini, akhirnya ditemui selamat tidak jauh dari lokasi kejadian.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som mengesahkan jumlah anak kapal itu seramai 187 orang.

Mohd Zubil berkata, daripada 125 anak kapal yang terjun ke laut termasuk empat yang pada mulanya dikhuatiri hilang, seorang telah meninggal dunia, manakala 62 yang berada di atas Dayang Topaz diselamatkan oleh kapal penyelamat.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa yang meninggal dunia.

SEBAHAGIAN anak kapal Dayang Topaz yang berjaya diselamatkan. – Foto ihsan APMM

“Seramai 185 anak kapal itu terdiri dari warganegara Malaysia dan dua dari Indonesia berumur 21 hingga 63 tahun, ” katanya melalui kenyataan media hari ini.

ANAK kapal yang berada di tengah laut sementara menunggu untuk diselamatkan. – Foto ihsan APMM

Mohd Zubil berkata, berdasarkan maklumat, kejadian disyaki berpunca daripada satu kabel sauh Dayang Topaz terputus ekoran cuaca buruk.

Menurut beliau, keadaan laut bergelora dan kapal berkenaan tidak dapat dikawal lalu hanyut dan melanggar platform pelantar minyak.

Katanya, MRCC Putrajaya bekerjasama dalam operasi menyelamat (SAR) membabitkan syarikat carigali minyak Petronas, Shell, Tentera Udara Malaysia (TUDM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PBPM) serta Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Brunei yang menugaskan pesawat Brunei Shell Petroleum termasuk komuniti nelayan tempatan.

“Aset lain yang terbabit terdiri daripada KM Siagut, KM Siakap dan Bot Penggalang 23 kini ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau,” katanya.

Sumber: Harian Metro