Ismail Sabri kini TPM, Hishammuddin Hussein dilantik Menteri Kanan Luar Negeri

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri bagi membantu tugas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, bagaimanapun kedudukan Ismail Sabri sebagai Menteri Kanan Pertahanan masih kekal.

Kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.

“Pelantikan ini akan dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

Menerusi pelantikan itu juga beliau bakal mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini dipimpin Ismail Sabri.

Menerusi kenyataan itu juga, Perdana Menteri bersetuju Hishammuddin Hussein sebagai pembantu dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

Kesemua pelantikan tersebut juga dikatakan telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa serta merta.

Langkah itu dibuat bagi meningkatkan lagi keupayaan kerajaan Perikatan Nasional khususnya dalam menguruskan pandemik COVID-19.