Perkongsian terbaru aktivis sosial , Syed Azmi Alhabshi di Facebook miliknya tentang seorang bayi berusia tujuh bulan bernama Adam cukup meruntun jiwa warganet.
Kongsi Syed Azmi, bayi comel ini dilahirkan dengan Down Syndrome’ dan ‘stoma’.
Walaupun baru tujuh bulan dilahirkan ternyata dugaan yang ditanggung bayi comel ini cukup berat untuk diterima.
Jika bayi lain di luar sana menjadi dambaan ibu bapa, namun nasib Adam berbeza apabila ibu dan neneknya sendiri tidak mahu membesarkannya.
Memilih untuk meninggalkan Adam di Rumah Bonda, yang juga rumah perlindungan buat wanita hamil, tambah Syed Azmi penjaga Adam yang sah itu juga berkeras untuk tidak mahu mengambil bayi itu semula.
Syed Azmi menjelaskan pertemuan dia dengan ibu dan nenek Adam
juga tidak menemui sebarang jalan keluar apabila kedua wanita ini datang dengan alasan menjaga Adam terlalu sukar.
Apa yang lebih teruk, sudahlah ditinggalkan begitu sahaja. Sebarang dokumen berkaitan Adam juga tidak diberikan kepada pihaknya. Sekaligus menyukarkan proses bayi ini dengan pihak hospital.
Sementara itu, Syed Azmi yang juga penasihat Rumah Bonda memberitahu untuk terus membesarkan Adam di rumah perlindungan itu mungkin agak sukar buat pihaknya memandangkan tenaga kerja yang tidak mencukupi selain rumah itu sendiri dikhaskan untuk remaja hamil.