Anwar ada 38 sokongan Ahli Parlimen PKR

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan seramai 38 Ahli Parlimen PKR menyatakan sokongan terhadap beliau untuk menjadi Perdana Menteri.

Anwar turut membuat penafian kononnya telah mengemukakan senarai nama-nama Ahli Parlimen yang menzahirkan sokongan terhadap beliau untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya bagi membentuk kerajaan baharu.

“Mengikut kenyataan saya, hanya menyatakan saya mempersembahkan surat dan dokumen dan tiada sebarang nama dinyatakan.

“Sebagai Presiden PKR, saya maklumkan seramai 38 Ahli Parlimen yang menunjukkan sokongan kukuh terhadap saya untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika sidang media selepas hadir memberi keterangan di Bukit Aman hari ini.

Anwar Ibrahim memaklumkan seramai 38 Ahli Parlimen PKR menyatakan sokongan terhadap beliau

Dalam pada itu, Anwar turut memberitahu, terdapat enam kes terhadapnya ketika sesi keterangan berlangsung dan kesemuanya menjurus kepada isu politik termasuk nama-nama Ahli Parlimen.

“Saya telah berikan surat pengesahan daripada Presiden Parti masing-masing dan perkara ini terpulang kepada mereka.

“Urusan ini setakat saya untuk mempersembah kepada Agong bukan urusan polis atau pihak politik yang arahkan polis untuk mengetahui nama-nama Ahli Parlimen dan tidak munasabah untuk orang tahu cara terperinci apa yang berlaku antara saya dan Agong,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Anwar Ibrahim telah mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah bagi mempersembahkan dokumen sahih mengenai majoriti kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen.

Sebelum ini, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memaklumkan pihak polis menerima lebih 113 laporan berhubung dakwaan sokongan Ahli Parlimen yang menyokong Anwar.

Kes dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.