Home Terkini AirAsia, AirAsiaX antara penerima rasuah untuk Airbus dapat kontrak

AirAsia, AirAsiaX antara penerima rasuah untuk Airbus dapat kontrak

Dokumen penyelesaian rasuah oleh Airbus menyebut 2 eksekutif kanan AirAsia dan AirAsiaX ditawarkan rasuah lebih AS$100 juta.

KUALA LUMPUR: Dua “eksekutif” syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia dan AirAsiaX disebut dalam dokumen undang-undang yang menyenaraikan contoh rasuah Airbus untuk mendapatkan kontrak melalui orang tengah korup bagi menjual pesawatnya ke seluruh dunia, lapor The Telegraph.

Dokumen itu sebahagian daripada penyelesaian berbilion dolar dengan pihak berkuasa anti-rasuah di Britain, Perancis dan Amerika Syarikat, selepas pembuat pesawat Eropah itu mengakui “kerap merasuah dalam perniagaan antarabangsanya”, lapor akhbar Britain itu hari ini.

Katanya, Airbus menyerahkan lebih 30 juta dokumen kepada penyiasat.

Dalam penyelesaian itu, Airbus bersetuju membayar hampir €1 bilion (RM4.5 bilion) di UK, €2.1 bilion (RM9.5 bilion) di Perancis dan €530 juta (RM2.4 bilion) di AS.

Memetik dokumen dilampirkan kepada penyelesaian itu, The Telegraph melaporkan Airbus membayar AS$50 juta (RM204 juta) dan menawarkan AS$55 juta (RM225 juta) untuk menaja sebuah pasukan sukan yang dikaitkan dengan 2 “pembuat keputusan utama” yang tidak dinamakan di AirAsia dan AirAsiaX.

“Syarikat penerbangan itu menempah 180 pesawat dari Airbus, dengan eksekutif itu disifatkan ‘diberikan ganjaran itu atas pesanan pesawat terbabit’ yang menurut dokumen itu ‘diperolehi melalui pembayaran tidak wajar’.” lapor akhbar itu.

Ia turut memetik satu e-mel daripada seorang eksekutif kepada seorang pegawai kanan Airbus.

“Awak sudah hutang saya 4 juta dan saya dihutang 16 juta keseluruhannya. Ini sepatutnya dibayar bertahun lalu apabila saya membeli 30 pesawat pertama. Saya mahu wang saya,” akhbar itu memetik e-mel berkenaan.

Selain Malaysia, penyelesaian bahagian UK membabitkan dakwaan rasuah di Indonesia, Taiwan, Sri Lanka dan Ghana antara 2011 hingga 2015.

Di Perancis, Airbus didakwa memberi rasuah di 16 negara untuk mendapatkan kontrak daripada syarikat penerbangan, termasuk di Rusia, China dan Taiwan.