Sahih! Netflix bakal perkenal ciri iklan dalam kandungan

Sahih! Netflix bakal perkenal ciri iklan dalam kandungan

SAHIH! Platform penstriman Netflix bakal mengubah lanskap khidmat mereka dengan ‘menyelitkan’ iklan.

Bagaimanapun pengenalan ciri terbaharu itu dijangka tidak akan memberi kesan kepada pengguna sedia ada.

Melalui kenyataan Co-CEO Netflix iaitu Ted Sarandos semasa Festival Pengiklanan Cannes Lions minggu lalu, beliau mengesahkan masa depan gergasi penyiaran itu termasuklah rancangan untuk mewujudkan iklan.

Bagaimanapun Sarandos menjelaskan ia merupakan satu langkah yang paling cuba dielak mereka selama ini, kekecewaan syarikat akibat kehilangan lebih 200,000 pengguna Netflix sebelum ini memaksa mereka untuk membuat keputusan demikian.

Katanya, Netflix bakal menawarkan yuran langganan yang lebih rendah dengan adanya iklan pesanan penaja.

Sekaligus ia diharap dapat menarik lebih ramai pengguna berdaftar.

“Selama ini kami telah mengabaikan beberapa golongan sasaran antaranya mereka yang tidak kisah tentang kewujudan iklan demi bayaran bulanan yang lebih murah.

“Jadi bermakna kami tidak menambah iklan untuk pengguna sedia ada Netlix, kami cuma menambah peringkat pengguna iaitu pengguna yang tidak kisah tentang iklan,” kata Sarandos.

Ini merupakan kali pertama penyedia kandungan berbayar itu menyertai Festival Pengiklanan Cannes Lions, secara jelas bermakna mereka sedang dalam rangka menyediakan slot untuk pengiklanan.

Sarandos juga telah mengesahkan pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama beberapa rakan pengiklanan.

Dalam majlis sama, Sarandos telah menerima anugerah Cannes Lions’ Entertainment Person of the Year.

Kategori pengguna dengan fitur iklan dijangka akan memberi impak positif kepada masalah perkembangan netflix.

Sumber: hollywoodreporter