Derma darah, dapat mi segera perisa babi

berita luar negara

SATU kertas siasatan telah dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan kes pemberian cenderahati yang mengandungi mi segera berperisa daging babi cincang pada satu program derma darah di sebuah pusat beli-belah di Batu Pahat, Johor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, polis menerima laporan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai perkara itu pada 11.38 pagi Isnin, lapor Harian Metro.

“Laporan berkenaan mengenai sebahagian daripada penderma darah menerima bungkusan cenderahati mengandungi mi segera dipercayai berperisa daging babi cincang.

Katanya, siasatan awal mendapati, program derma darah anjuran bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan hospital di sini diadakan di pusat membeli-belah di Batu Pahat kelmarin.

Mereka dikatakan menerima bungkusan cenderahati daripada NGO berkenaan selepas selesai menderma darah.

“Sebahagian penerima adalah beragama Islam mendapati didalam beg berkenaan terdapat mi segera dipercayai berperisa daging babi cincang.

“Susulan kejadian berkenaan, pihak polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah menubuhkan satu pasukan untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan dengan kejadian terbabit,” katanya kepada Harian Metro.

Beberapa individu telah dipanggil dan rampasan juga dilakukan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A/504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara ataupun denda atau kedua-duanya.

Sumber: Harian Metro