Caprice berangkat ke Gaza, mohon doa orang ramai dalam misi kamanusiaan

PENYANYI rap dan selebriti media sosial, Caprice baru-baru ini mengumumkan bahawa dirinya telah mendapat kebenaran untuk memasuki Gaza, Palestin pada 23 Jun.

Melalui sebuah perkongsian video di Instagram, Caprice memberitahu bahawa dia akan terbang ke negara itu bersendirian dan mengikuti misi kemanusiaan.

Dalam pada itu, dia juga memohon agar orang ramai mendoakan perjalanannya agar berjalan lancar sepanjang berada di sana.

“Tolong doakan saya Malaysia. Last minute Caprice dapat kebenaran untuk masuk ke Cairo-Gaza tapi kena pergi seorang diri malam ini”, katanya melalui kapsyen Instagram.

Tambahnya, “Maafkan salah silap saya dan halalkan makan minum. InsyaAllah satu hari saya akan buat anda bangga. Demi ummah, rakyat dan negara”.

Menerusi ruangan komen, rata-rata peminat dan pengikutnya turut mendoakan perjalanan Caprice agar dipermudahkan dan sentiasa lancar.

Terdahulu, Caprice merupakan salah seorang selebriti yang mengecam kekejaman rejim Zionis terhadap bumi Palestin dan juga turut menjadi sensasi apabila dia muncul berdebat bersama dua orang selebriti Israel mengenai isu Israel-Palestin.