“Sudah Sampai Waktu Untuk Jadi Suami Orang” – Zul Ariffin Bakal Akhiri Zaman Bujang

Pelakon Zul Ariffin dedahkan bakal mengakhiri zaman bujangnya tahun ini selepas perancangannya terbantut akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, tiada alasan untuk menangguhkan perkara baik memandangkan dirinya dan pasangan sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab.

“Memang dari tahun lepas lagi ada perancangan itu. Rasanya saya pun lama berlakon dan sudah sampai waktu untuk jadi suami orang pula, insya-Allah

“Saya tidak mahu cakap kosong saja, tapi cuba realisasikan tahun ini sebab kalau boleh tak mahu lagi tangguh lama-lama,” kata Zul, 38, ketika ditemui media pada majlis tayangan program hari raya Astro, baru-baru ini.

Menurut pelakon filem Sangkar itu lagi, Zul memilih untuk melangsungkan majlis pada akhir tahun memandangkan dirinya bakal sibuk dengan promosi filem Sheriff.

“Buat masa ini saya difahamkan semua pelakon Sheriff akan mengikuti jadual promosi memandangkan filem itu bakal ditayangkan sekitar pertengahan tahun ini.

“Jadi perancangan berkahwin pada Jun ini memang tak sempat, ikutkan mungkin akhir tahun macam orang selalu buat.

“Sebab itu tiada sebarang persediaan, sebaliknya hanya perbetulkan diri dalam menjadi seorang insan lebih sempurna berbanding sebelum ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, Zul tidak mahu mendedahkan identiti pasangannya hingga ketetapan tarikh pernikahan sudah dibuat.

Sumber : Kosmo