Shuib sekeluarga positif COVID-19 – “Doakan kami sekeluarga sembuh, isteri sedang hamil 7 bulan”

USAHAWAN selebriti terkenal, Shuib Sepahtu mengesahkan dia dan seluruh ahli keluarga kini didapati positif virus COVID-19.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, mendedahkan khabar duka itu melalui laman Instagramnya pada pagi Selasa.

“Assalamualaikum semua,hasil swap test smlm, Kami sekeluarga didapati positif COVID-19.

“InsyaAllah walaupun ujian ini agak berat buat kami sekeluarga,pasti dan pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini,” tulis Shuib.

Shuib dan keluarga melakukan ‘swab test’ pada Isnin.


Bekas penyampai radio Hot FM itu turut meluahkan kerisauan terhadap tahap kesihatan isterinya iaitu penyanyi Siti Sarah Raisuddin yang kini sedang hamil tujuh bulan.

“Doakan kami sekeluarga kembali sihat terutamanya Siti Sarah yang sedang hamil tujuh bulan.

Rata-rata rakan artis dan peminat turut mendoakan kesejahteraan Shuib sekeluarga.

Perkongsian Shuib di Instagram.

“Allahuakbar… Semoga dilindungi dan dipermudahkan urusan kamu semuanya. InsyaAllah semuanya kembali pulih seperti biasa,” tulis Ajak Shiro.

“Allahuakbar… Semoga cepat sembuh Shuib dan Siti Sarah,” tulis Almy Nadia.

Terdahulu, Shuib telah berkongsi video dia bersama keluarga membuat swab test pada petang Isnin selepas pembantu rumah mereka didapati positif virus merbahaya itu.