Sharnaaz tiada usaha selamatkan perkahwinan setahun tinggal berasingan, Noor Nabila sudah tawar hati!

ISTERI pelakon Sharnaaz Ahmad iaitu Noor Nabila mendedahkan tiada sebarang usaha untuk berdamai dilakukan suaminya itu sepanjang setahun mereka tinggal berasingan.

Atas sebab itu juga kata kakak kepada pengacara Neelofa ini, dia sudah tawar hati serta membuat keputusan untuk tidak lagi meneruskan perkahwinan mereka.

“Perkara ini akan menjadi mudah kalau Sharnaaz melafazkan cerai tapi dengan proses begini memang ia akan bermasalah.

Noor Nabila diwakili peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

“Adakah Sharnaaz nak selamatkan perkahwinan ini dan apa usaha yang dah dibuat untuk itu? Selama setahun saya tak dapat apa-apa (usaha) dan saya memang tidak mahu teruskan sebab saya dah tawar hati,” ujarnya kepada mStar.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Jebat Jayden yang kini berusia setahun.

Dalam pada itu, Mahkamah Rendah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menetapkan 27 Februari depan untuk pelantikan hakam baru bagi kes pasangan itu.

Hakim Syarie, Ahmad Muttaqi Ismail membuat keputusan untuk menggugurkan hakam sedia ada selepas kedua-dua hakam yang dilantik itu gagal mencapai kesepakatan dalam prosiding yang dibuat secara tertutup selama 15 minit pada Khamis.

Pengguguran itu dibuat mengikut Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 selepas mendapati laporan prosiding itu terdapat elemen syiqaq (perkelahian) yang tidak bersetuju tentang perceraian.

Sharnaaz dan Noor Nabila dikurniakan seorang cahaya mata Jebat Jayden yang kini berusia setahun.

Perbicaraan kes nusyuz difailkan Sharnaaz terhadap Nabila juga akan disebut pada tarikh sama.

Pada 4 Disember tahun lalu, Ahmad Muttaqi memerintahkan pelantikan hakam selepas kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian dalam Jawatankuasa Pendamaian (JKP) sebelum ini.

Hakam adalah proses yang diperuntukkan mengikut Seksyen 47(14) dan Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Menerusi proses itu, mahkamah mempunyai kuasa melantik dari kalangan saudara-mara terdekat kedua-dua belah pihak, iaitu dua penimbang tara yang mempunyai makluman berkaitan isu rumah tangga pemohon dan defendan.

Dalam prosiding itu, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Sharnaaz manakala peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili Noor Nabila.

Sumber – Ms