Home Hiburan RMC FC anjur perlawanan bola sepak amal bantu golongan asnaf

RMC FC anjur perlawanan bola sepak amal bantu golongan asnaf

Dalam melakukan aktiviti yang menjurus kepada kebajikan, pelbagai cara dilakukan dalam usaha untuk membantu golongan yang memerlukan.

Misalnya, Datuk Fizz Fairuz bersama beberapa rakan artis bersama pasukan RMC FC telah mengadakan dua perlawanan persahabatan amal bola sepak bersama pasukan YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad dan pasukan VVE Public Mutual Founder Shahboyy di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Ini merupakan sebuah program asnaf ‘kain kapan’ dan kami berkerjasama dengan pusat zakat utk membantu mereka yang memerlukan.

“Menerusi perlawanan ini kami membuat kutipan untuk disalurkan kepada asnaf seluruh malaysia dengan menjalankan program amal bola sepak bersama agensi-agensi kerajaan dan swasta demi mengutip dana program tersebut,” ujarnya.

Antara selebriti tempatan yang turut serta dalam perlawanan bola sepak tersebut seperti Zain Saidin, Aman Nassem serta bekas pemain import Pahang iaitu Dickson Nwakaeme.

Menurut Fizz, idea untuk mengadakan program tersebut adalah cetusan idea daripada YAM Tengku Puteri Seri Kemala, Tengku Aishah Al Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.

“Program ini kami telah jalankan di seluruh negeri demi membantu mana-mana pihak yang memerlukan. Buat masa ini kami masih lagi mencari dana memandangkan dana yang ada masih belum mencukupi.

“Kami juga mahu mengajak mana-mana pasukan bola sepak dari agensi kerajaan dan swasta untuk membantu program yang kami jalankan, boleh sahaja terus hubungi saya bagi sama-sama menjayakannya,” jelasnya.