‘Rap Der Raya’ pertaruh lagu raya generasi baru bergenre hip-hop

MENJELANG perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut oleh umat Islam tidak lama lagi, pendengar bakal disajikan dengan sebuah lagu raya terbitan Def Jam Malaysia yang 90 peratus bertemakan genre hip-hop yang segar.

Lagu berjudul Rap Der Raya ini menampilkan 6 orang penyanyi rap yang tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air iaitu Yonnyboii, Kmy Kmo, Luca Sickta, Siqma, ASYRAF NASIR dan Abubakarxli.

Ciptaan asal Yonnyboii dan diberi sentuhan istimewa dengan kerjasama Luca Sickta ini menjanjikan nafas baru dalam gaya penulisan lagu raya yang sudah ada sediakala.

Selain menekankan genre hip-hop yang dibawa oleh kesemua artis ini, mereka percaya bahawa Rap Der Raya bakal memberi nafas baru kepada dunia seni tanah air.

Sehubungan itu, Yonnyboii berharap agar lagu ini diterima oleh para pendengar kerana ia adalah lagu raya dari generasi baru.

Menurutnya lagi, lagu ini telah ditambah ‘perisa’ oleh rakan-rakan duet yang lain daripada ‘demo’ asal yang dihasilkan olehnya sendiri.

“Saya rakam berseorangan sahaja di rumah atas kerana kesibukan jadual harian, dan diberi motivasi untuk meneruskan rakaman daripada Luca Sickta dan Def Jam Malaysia.

“Tentang rakaman video muzik pula, sangat menyeronokkan dan banyak pengalaman baru, dapat menegenali artis-artis yang lain dan mereka yang terlibat di sebalik tabir iaitu warga kerja Def Jam Malaysia dan Universal Music Malaysia dengan lebih rapat,” kata Yonnyboii kepada The News.

Dalam pada itu, Luca Sickta yang juga salah seorang penerbit muzik untuk Rap Der Raya juga berkata, “lagu ini berpotensi untuk menerapkan ‘mood’ raya kepada semua yang mendengar.

“Alunan melodi asal dari lagu Yonnyboii membuatkan dirinya tertarik untuk menerbitkan ia kembali dalam versi baru. Melodi korus memberi idea untuk dia menyusun komposisi muzik campuran moden dan 80an,” jela Luca.

Rap Der Raya telah dilancarkan di kesemua penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 30 April lalu dan video muziknya juga boleh ditonton di saluran YouTube Def Jam Malaysia.