Pernah Digelar ‘Kayu’, Sharifah Rose Kini Kalis Kecaman

NAMA pempengaruh media sosial yang kini bergelar pelakon, Sharifah Rose antara barisan pelapis yang mencuri perhatian penerbit dan pengarah drama di persada seni tanah air ketika ini.

Biarpun pernah digelar pelakon kayu, pelakon jelita yang juga pemilik nama sebenar, Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira, 25, ini tidak pernah patah semangat untuk terus mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan.

Sudah namanya, anak seni, Rose nampaknya tidak dapat mengelak bila namanya menjadi sebutan netizen gara-gara dirinya bersalaman dengan penyanyi terkenal dari Thailand, Bright Vachirawit, dalam sebuah majlis baru-baru ini.

Malah, Rose juga terpaksa akur menerima kecaman hebat dari peminat yang mempertikaikan tindakannya bersalaman dengan lelaki bukan muhrim itu selaras dengan penampilan dirinya yang berhijab, lapor Harian Metro.

Sedangkan Rose juga ada alasan tersendiri hingga terpaksa bersalaman dengan Bright kerana tidak mahu dianggap biadab dan sebagai menghormatinya yang tidak tahu dengan adat dan budaya kita.

Namun, Rose tidak mahu memperbesarkan lagi isu terbabit dan akan lebih berhati-hati dalam setiap tindakannya selepas ini.

“Sebenarnya, saya sudah dikecam sebelum saya masuk industri lakonan dan ketika menjadi pempengaruh media sosial lagi. Saya berasa itu lumrah bila kita sudah dikenali orang. Salah sikit pun akan menjadi besar.

“Saya juga menjadikan setiap kecaman sebagai pembakar semangat dan teruskan fokus serta pandang ke hadapan. Sebagai individu, kita perlu berkembang dalam setiap fasa yang dilalui,” katanya.

Berkongsi perkembangan karier seninya pula, kata pelakon yang menempa nama menerusi drama Kekasih Hati Mr Bodyguard ini, ia sudah masuk tahun kedua dia menceburi bidang lakonan.

“Dalam tempoh dua tahun ini, banyak perubahan hidup dilalui berbanding tahun sebelumnya. Saya berasa seronok dengan apa yang dikecapi ketika ini,” katanya.

Mengenai watak diimpikan dalam lakonan pula, kata Rose, dia mahu melakonkan karakter orang zaman dahulu.

“Saya suka dengan dialek orang zaman dahulu, dari segi mood, jalan cerita dan wataknya. Saya juga menyukai cerita patriotik dan sejarah kerana ia agak mencabar dan menarik.

“Selain itu, saya baru selesai penggambaran Siri TV Alice Kampung Baru arahan pelakon Liyana Jasmay.

“Apa yang menarik, kali pertama, saya melakonkan watak sebagai remaja. Saya berasa seronok untuk berada di lokasi penggambaran siri ini kerana hubungan dengan semua pelakon juga rapat.

“Barisan pelakon siri ini ialah Sazzy Falak, Mustaqim Bahadon, Sera Kamal dan Amelia Christie,” katanya.

Mengenai kehidupan peribadinya pula, Rose mengakui dirinya masih solo kerana sibuk dengan kerjaya seni dan bisnes diceburinya.

“Saya merancang untuk menamatkan zaman solo pada usia 28 tahun dan masih ada tiga tahun lagi untuk mencari jodoh,” katanya.

Sumber gambar – Kosmo Digital | Sumber laporan – Harian Metro