Datuk Seri Anwar Ibrahim Hulurkan Sumbangan untuk S. Amin Shahab


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menyampaikan sumbangan kepada karyawan negara, Syed Mohd Amin Syed Hashim Al Shahab, atau lebih dikenali sebagai S. Amin Shahab, yang baru-baru ini dilaporkan menghidap masalah jantung. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Farhan Fauzi, yang menziarahi Amin Shahab di kediamannya pada Selasa.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan kesihatan beliau beransur pulih selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). Dalam sesi ziarah ini, saudara Farhan turut sampaikan sumbangan bagi pihak saya untuk menampung kehidupan harian dan kos perubatan beliau. Mendoakan agar saudara S. Amin Shahab dikurniakan afiyah dan kekuatan untuk terus berkarya, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebooknya.

S. Amin Shahab adalah seorang penulis lirik dan pelukis yang terkenal dalam dunia hiburan tanah air. Beliau telah berjaya menempa nama dalam Malaysian Book of Records kerana menghasilkan lukisan berukuran 1 kilometer. Karya-karyanya telah melonjakkan profil ramai artis dan kumpulan muzik, termasuk Alleycats, Flybaits, Headwinds, Wings, Search, Jamal Abdillah, Awie, serta seniman seperti Allahyarham Sudirman, ‘sifu’ Datuk M Nasir, dan biduanita, Datuk Siti Nurhaliza.

Sumber: Malaysia Bangkit