Penyanyi wanita terkenal masuk hospital gara-gara tahan kentut depan BF

SEORANG wanita yang juga merupakan penyanyi terkenal di Brazil mendedahkan dia terpaksa dirawat di hospital selepas ‘gas’ terperangkap di dalam badannya gara-gara dia terlalu malu untuk kentut di hadapan teman lelakinya.

Penyanyi wanita yang dikenali sebagai Viviane de Queiroz Pereira atau nama panggilannya iaitu Pocah, berkongsi gambar ketika dia berada di bilik perubatan sebuah hospital kepada berjuta-juta pengikutnya di laman perkongsian gambar Instagram, lapor Kosmo.

“Saya bangun pada pukul 5.30 pagi dengan sakit perut yang teruk dan akhirnya dimasukkan ke hospital.

“Tetapi itu sahaja kawan-kawan. Saya kini sihat, hanya pengumpulan kentut terperangkap di dalam badan saya,’’ jelas penyanyi berusia 27 tahun itu.

Ahli muzik yang memulakan kerjayanya pada 2012 dengan nama MC Pocahontas itu menggalakkan peminat-peminatnya untuk membuang angin dengan bebas tanpa rasa malu.

“Anak perempuan jangan malu untuk kentut di hadapan lelaki. 

“Apa yang lebih memalukan adalah membiarkan teman lelaki anda tidak dapat tidur dengan aman kerana anda mengajaknya ke hospital dan selepas itu, mengetahui bahawa anda sakit kerana kentut terperangkap dalam badan anda,” katanya.

Pocah yang dilahirkan di Rio de Janeiro, adalah berketurunan Afrika dan Portugal. Dia pada asalnya tidak mengendahkan sakit perut yang dialami kerana menerima nasihat di TikTok.

Tetapi selepas kesukaran itu, dia berkata akan melepaskan kentut dengan bebas. Menurut beberapa pakar perubatan, perbuatan menahan kentut boleh menjadi  berbahaya dan membawa kepada gejala yang menyakitkan.

Sumber: Kosmo