“Zul Ariffin akan disiasat” – Tan Sri Annuar Musa

AKTOR Zul Ariffin menjadi bualan ramai selepas berkongsi satu video memaparkan sedutan adegan sebuah drama yang tular baru-baru ini, akan disiasat.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa melalui laman Twitter miliknya, pagi tadi.

“Proses undang-undang berjalan. Pelakon Zul Ariffin akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta KMM (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) kerana posting (muat naik) YouTube yang menyalahi undang-undang,” demikian ciapan beliau jam 9.28 pagi tadi.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menentang keras penyiaran drama tersebut bakal ditayangkan Ramadan nanti.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata berdasarkan penelitian pihaknya, penyiaran program seumpama itu jelas mempamerkan perbuatan dilarang Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral melampaui batas serta bertentangan norma masyarakat dan hukum syarak.

JAKIM menyatakan pendirian dan pandangan mengenai isu terbabit kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) supaya tindakan tegas dapat diambil segera.

Dalam pada itu, Annuar melalui ciapan sama turut menegaskan bahawa adegan tersebut tidak akan ditayangkan.

“Yang pasti adegan seperti yang dipapar itu tidak akan dibenarkan tayang, sama ada bulan Ramadan atau bulan yang lain. Jagalah nilai dan budaya,” katanya.

Pada Isnin, Zul Ariffin atau nama sebenar, Zulkifli Ariffin, 35, telah membuat permohonan maaf serta meluahkan kekesalan di atas tindakannya memuat naik video sedutan drama tersebut di akaun Instagram miliknya.

Perkongsian Zul Ariffin yang memaparkan adegannya bersama serang wanita dalam drama ‘Perempuan Itu’ dikatakan sebagai kurang bermoral dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.

Sumber: Berita Harian