Swarovski dedah tidak lagi bekerjasama dengan Neelofa

TIDAK habis lagi kisah yang membabitkan selebriti dan usahawan terkenal, Neelofa yang melanggar SOP ketika majlis pernikahan dan merentas negeri ke Langkawi walaupun sudah dikompaun sebanyak RM60,000. Netizen masih lagi hangat memperkatakan mengenai perkara itu.

Baru-baru ini, jenama aksesori mewah, Swarovski membuat satu ciapan di laman Twitter memaklumkan pihaknya sudah tidak lagi bekerjasama dengan Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Neelofa.

Memetik laporan Astro Gempak, ciapan tersebut adalah respon kepada seorang pengguna Twitter @azba95 yang bertanya perihal status Neelofa sebagai duta jenama antarabangsa itu setelah dilantik sejak tahun 2017.

Menurut pengguna Twitter tersebut, artis di Korea Selatan pasti akan ditamatkan kontrak serta-merta sebagai duta kepada jenama tertentu sekiranya melakukan kesalahan sama seperti Neelofa.

“Sekiranya Neelofa adalah artis Korea, sesebuah jenama yang melantik dia menjadi duta akan menamatkan kontraknya. Hello @swarovski,” tulisnya.

Ciapannya mendapat respon @swarovski, “Terima kasih kerana menghubungi. Kami dapat mengesahkan bahawa kami tidak lagi bekerjasama dengan Neelofa”.

Walau bagaimanapun, menurut Neelofa kontrak kerjasamanya dengan Swarovski telah berakhir sejak Disember tahun lalu.

Terdahulu, busana pernikahan Neelofa turut menggunakan lebih 5,000 kristal kecil Swarovski selain mendapat tajaan daripada jenama sama untuk pemberian ‘doorgift’ kepada para tetamu.