Polis buru suspek kes tular pukul dua lelaki guna getah paip.

POLIS sedang giat memburu beberapa orang suspek yang dikatakan terlibat dalam kes pukul sehingga tular baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan adalah tertumpu kepada suspek di dalam video berkenaan.

“Video berdurasi 54 saat itu menunjukkan dua lelaki telah dipukul dengan getah paip serta ditendang dua lelaki yang masih belum dikenalpasti identitinya.

“Insiden itu juga disaksikan oleh enam lagi lelaki dan kandungan video tersebut jelas melanggar undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, berdasarkan siasatan awal, lokasi tersebut melibatkan premis yang menjalankan perniagaan rokok elektronik (vape).

Satu laporan telah dibuat di IPD Dang Wangi bagi melakukan siasatan terperinci berhubung video tular tersebut.

Polis meminta orang ramai agar tidak menyebarkan video berkenaan bagi mengelakkan sebarang provokasi berlaku.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 342 akta sama.