“Ramai yang skandal kat luaq, bezanya depa bukan artis” – Janna Nick minta netizen tak campur urusan peribadi & kerjaya Shuk Sahar

‘DRAMA’ pergolakan rumah tangga yang sedang melanda pelawak Shuk Sahar terus hangat diperkatakan dalam kalangan netizen sehingga kini.

Isu itu turut menarik perhatian aktres Janna Nick yang meluahkan pendapatnya berhubung kisah yang melibatkan kehidupan peribadi rakan selebritinya itu.

Janna yang meluahkan pandangannya di laman Instagram meminta agar masyarakat tidak perlu mencampuri urusan peribadi seseorang artis dengan kerjaya mereka.

Status yang dimuat naik janna di Instagram.

“Bukan nak backup Shuk, tapi kita tidak tahu perjalanan hidup kita ni macam mana. Ramai lagi orang di luar sana yang ada skandal semua, bezanya mereka bukan artis.

“Tak perlu campur urusan peribadi dia dengan kerjaya. Ni sembang lebih-lebih, satgi kena marah…” tulis janna di Instagram.

Menurut Janna lagi, orang luar tidak perlu melontarkan komen negatif mengenai kisah peribadi artis kerana risau ia akan memakan diri satu hari nanti.

“Isu-isu dalam kain ini kita tidak tahu siapa betul, siapa salah. Kena batang hidung sendiri baru kita nak sedar.

“Jadi lebih baik kita doakan yang baik-baik. Kita dok pulun kutuk sana kutuk sini pun tak guna.

“Silap-silap esok-esok mereka suami isteri baik balik,” tulisnya lagi.

Terdahulu, isteri Shuk, Rossalennah Natassyiah Asshaferah mendakwa suaminya berlaku curang sekali lagi dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Fara Salleh.

Bagaimanapun menerusi pengakuan yang dilaporkan di portal mstar, Fara menjelaskan hubungannya dengan Shuk sudah lama berakhir sejak kali pertama isu skandal antara mereka diketahui pihak media.

Fara juga merupakan individu yang sama dikaitkan menjalinkan hubungan dengan Shuk sekitar Julai 2020.

Shuk mendirikan rumah tangga dengan Rossalennah pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Nur Qurratu Ain, 4, dan Nur Assyifatu Aimi yang kini berusia setahun.