Ini bukan gimik perniagaan, saman tetap saman – DSV

Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV)menegaskan dia akan tetap meneruskan tuntutan saman malu terhadap selebriti Azwan Ali.

Walaupun beberapa hari lalu Azwan sudah membuat permohonan maaf namun tindakannya itu dilihat tidak menunjukkan sebarang kekesalan malah tegas DSV apa yang berlaku tempoh hari membuatkan perasaannya semakin sakit.

“Saya akan teruskan saman terhadap Azwan biarpun dia sudah buat permohonan maaf. Kalau anda lihat permohonan maaf itu, dia buat dalam nada tiada kekesalan.

“Bukan saya nak panjang-panjangkan cerita tapi perkara ini telah merobek hati saya apabila dia mempermainkan soal kematian dua anak lelaki saya sebelum ini.

“Saya tak boleh nak hadap perkara ini sebab saya tak boleh nak dapatkan mereka (allahyarham anak) kembali. Sekarang pemergian mengejut mereka dibuat main pula,” katanya.

Sementara itu ditanya sama ada apa yang berlaku ini lebih kepada gimik perniagaan kata DSV, terlalu banyak cara lain untuk dia melariskan produk dan tidak akan sesekali untuk dia menyentuh soal kematian anaknya semata-mata untuk gimik.

“Banyak lagi cara lain, saya boleh buat kenapa nak bangkitkab soal kematian dua anak syurga saya,” katanya.

DSV ketika ditemui pada majlis sidang media Datuk Seri Vida Saman Malu Terhadap Azwan Ali yang diadakan di Hotel One World, Petaling Jaya hari ini juga turut ditemani anaknya Cik B.