Dakwaan Eina Azman dan suami ‘potong barisan’ pengambilan vaksin tidak benar

SEBELUM ini, tular mengenai khabar selebriti Datin Paduka Eina Azman dan suaminya Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah didakwa menerima suntikan vaksin Covid 19 di PPV, Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 25 Mei.

Perkongsian Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 26, bersama placard ‘saya sudah divaksin’ mengundang kecaman warganet dan ada yang mendakwa dia telah memotong giliran pengambilan vaksin sekaligus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa dari 25 Mei hingga 7 Jun ini.

Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr Abdul Malek Osman menjelaskan dalam satu kenyataan bahawa kelayakan pemberian suntikan vaksin kepada pasangan tersebut adalah berdasarkan kepada rujukan oleh doktor pakar yang merawat mereka atas masalah kesihatan dan komorbid.

Pihak mereka juga turut menjelaskan, tiada isu “potong barisan” dalam pemberian suntikan vaksin dan pasangan ini telah dimasukkan ke dalam senarai penerima vaksin atas nasihat doktor pakar kerana pesakit dikategorikan sebagai golongan yang berisiko tinggi.