Awal Ashaari mengaku tak bersalah, lakukan khianat terhadap syarikat perumahan

PELAKON dan pengacara popular, Awal Ashaari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada Selasa selepas berdepan tuduhan khianat merosakkan palang pagar sebuah syarikat perumahan di Damansara bulan lalu.

Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Berdasarkan pertuduhan, selebriti itu dikatakan melakukan perbuatan tersebut terhadap syarikat Challis Damansara.

Tindakan itu juga telah membawa kerugian sebanyak RM600 yang dilakukan pada jam 11.30 pagi pada 16 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, Awal boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun serta denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam yang mewakili pengacara itu, Datuk M. Reza Hassan memohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000 berikutan tertuduh mempunyai tanggungan keluarga selain tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 bersama seorang penjamin.

Tarikh 15 Julai depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.