Kakak Asif Dituduh Guna Duit Adik Sehingga Menjejaskan Nama Baiknya

KAKAK kepada Youtuber terkenal, Muhammad Asyiff Suhaimi, Siti Nur Atina menafikan menggunakan wang adiknya, hasil bayaran yang diterima daripada Syahmi Sazli Production.

Siti Nur Atina, 34, berkata, adiknya yang lebih dikenali sebagai Asif Suhaimi, 20, menerima bayaran sebanyak RM7,000 pada Februari lalu.

Katanya, dia sudah memasukkan wang sebanyak RM4,000 ke dalam akaun bapanya, Suhaimi dan baki RM3,000 disimpan untuk kegunaan adiknya pada masa akan datang.

“Saya tidak memasukkan kesemua wang RM7,000 kepada bapa, saya simpan RM3,000 untuk kegunaan Asif termasuk bagi membeli pakaian dan kelengkapan, malah saya akan tambah jika duit itu tidak cukup.

“Namun, sebaliknya berlaku apabila saya dituduh menggunakan wang itu. Saya tidak pernah menggunakan wang Asif kerana saya juga ada perniagaan sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Siti Nur Atina berkata, dia terpaksa menaikkan status di laman Facebook kerana mendakwa namanya diburukkan di laman sosial itu sehingga menjejaskan nama baiknya.

“Saya berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya yang tidak membuat laporan polis berhubung isu itu.

Terdahulu, Siti Nur Atina memuat naik status di laman Facebooknya semalam, selepas dituduh menggunakan wang Asif sebanyak RM3,000.

Untuk rekod, Asif Suhaimi yang juga pemuda orang kurang upaya autisme adalah seorang YouTuber yang sering terbabit dalam projek drama dan filem dari Syahmi Sazli Production.

Asif pernah menggenggam trofi Artis Komedi Popular Anugerah Bintang Popular (ABPBH) pada 2020.

Sumber gambar – Negara Merdeka | Sumber laporan – Harian Metro