Youtuber ‘Skincare’, Noel Faizal Mengaku Bersalah Miliki Dadah

YOUTUBER, Noel Faizal didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan memiliki dadah di kawasan parkir sebuah kondominium di sini, tiga bulan lalu.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu selepas Noel Faizal Firdaus Muhamad, 40, mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pindaan, dia didakwa ada dalam kawalannya dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 0.68 gram di tempat letak kereta sebuah kondominium di Damansara Perdana di sini, pada jam 2.15 pagi, 21 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu supaya dikenakan hukuman ringan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Loh Xian Yee mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan kekerapan kes dadah terutamanya di daerah ini.

Sumber gambar – Berita Harian | Sumber laporan – Harian Metro