Hafidz Roshdi Disahkan Waras, Kes Boleh Dibicarakan

Foto : Azhan.co

Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru, hari ini dimaklumkan pihak pendakwaan pelakon Hafidz Roshdi disahkan waras dan pertuduhan atasnya layak dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri memaklumkan perkara itu pada sebutan semula kes dan laporan psikiatri, hari ini di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali yang bertindak sebagai Majistret.

“Pihak pendakwaan mengesahkan laporan perubatan psikiatri sudah diterima dan tertuduh (Hafidz) disahkan waras. Justeru, kes boleh dibicarakan,” kata Asmaa’.

Pada masa sama, pihak pendakwaan turut memohon mahkamah memberikan tarikh lain bagi serahan dokumen.

Selepas mendengar makluman kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai depan bagi sebutan semula kes.

Sementara itu, peguam mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader memohon pihak pendakwaan memberikan salinan berhubung laporan psikiatri sebelum tarikh sebutan kes seterusnya.

“Dalam sebutan hari ini, pendakwa raya memaklumkan kepada mahkamah mengenai laporan hospital yang dikeluarkan dan mereka sudah dapat salinan dokumen.

“Semua dokumen adalah berkaitan kes ini dan akan diberikan sebelum sebutan kes akan datang iaitu pada 17 Julai depan.

“Mengikut laporan, Hafidz sihat dan waras, jadi perbicaraan boleh diteruskan,” katanya ditemui di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru, di sini, hari ini selepas sebutan semula kes selesai.

Bagaimanapun, Akberdin berkata, status kesihatan Hafidz semasa kejadian memukul isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, pada 2 Mac lalu berlaku adalah satu perkara lain.

Terdahulu, mahkamah memerintahkan Hafidz menjalani pemeriksaan dan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak pada 28 Mac lalu, selain dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret, mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar.

Pihak pendakwaan membuat permohonan mengikut Seksyen 342, Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dihantar untuk pemeriksaan psikiatri bagi rawatan dan pemeriksaan mental.

Bagaimanapun, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri bekas isterinya sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya pada 2 Mac lalu.

Foto : SAYS

Berdasarkan pertuduhan, Hafidz didakwa menumbuk pipi kiri bekas isterinya, Nurul Shuhada sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini pukul 3.22 pagi.

Akibat kejadian itu, isterinya itu terpaksa menerima 10 jahitan dan menyebabkan wajahnya mengalami parut kekal.

Pada 4 Mac lalu, Hafidz ditahan polis bagi membantu siasatan atas dakwaan menumbuk Nurul Shuhada dalam kejadian di sebuah kawasan rehat dan rawat (R&R) di Sungai Buloh.

Hafidz ditahan kira-kira jam 12 tengahari ketika sebelum hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor dan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

Untuk rekod, Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.

Hafidz dilaporkan, melafazkan cerai terhadap Nurul Shuhada melalui panggilan telefon di hadapan keluarga masing-masing pada 22 Februari lalu, sebelum isterinya itu memfailkan proses pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pada 28 Februari lalu.

Sumber : Berita Harian