Travelogue Backpackers: Mesir kongsi lokasi menarik buat pengembara

Kelunakkan suara penyanyi dan pengacara, Sharul Kamal mengalunkan azan di sebuah masjid di Mesir beberapa bulan lalu menjadi viral di laman sosial.

Mengenali Shahrul sebagai seorang penyanyi siapa sangka kelebihan yang ada pada bekas peserta program realiti ini juga cukup padat dalam bidang pengacaraan.

Sementara itu Penerbit program Travelogue Backpackers: Mesir , Jaja Ishak berkata, video tersebut secara tidak langsung memberikan publisiti positif terhadap rancangan tersebut yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

“Video yang dimuat naik oleh Sharul itu menjadi viral di media sosial sehingga menjadi bualan hangat netizen. Ia dirakamkan ketika kami menjalani penggambaran di Mesir baru-baru ini bagi musim kedua siri program ini.

“Pemilihan Sharul adalah tepat apabila saya memang nampak bakatnya menjadi seorang pengacara yang bagus. Walaupun kita tengok kerjayanya sebagai penyanyi tidak begitu menyerlah seperti rakan-rakan artis Akademi Fantasia yang lain, namun saya dapat lihat karakter dia sebagai hos yang baik.

“Sepanjang penggambaran memang dia tunjukkan komitmen yang sangat bagus malah dia mampu mengalunkan azan dengan baik sekali gus memberi nilai tambah untuk program ini,” katanya.

Selain memuji suara Shahrul ada yang juga cukup terpegun dengan rekaan masjid itu.

Ternyata perkongsian seperti ini secara tidak lansung memberi peluang buat masyarakat islam khususnya menambah ilmu mengenai kehebatan seni bina islam sendiri.

Malah bagi Jaja ini adalah peluang yang baik untuk penonton untuk mendapat pelbagai maklumat menarik tentang lokasi yang akan ditayangkan.

“Untuk musim pertama kami ke Balkan dan kali ini Mesir. Sesuai dengan perkataan backpackers itu sendiri perjalanan program ini dilihat lebih ringkas selain padat dengan infomasi yang berguna,” tambahnya lagi.

Travelogue Backpackers: Mesir terbitan Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd. telah menjalani penggambaran dari 26 Januari hingga 14 Februari lalu. Program ini telah menjelajah beberapa wilayah di Mesir bagi memberikan input menarik sepanjang penggembaraan mereka di sana.

Bakal ditayangkan menerusi saluran TV Okey (saluran 109) pada pertengahan tahun ini, program ini diterbitkan sebanyak 13 episod untuk 30 minit siaran tayangan pada setiap episod.

Untuk rekod, Travelogue Backpackers musim pertama menghidangkan penonton dengan keunikan dan kecantikan Balkan yang terletak di kawasan Eropah Selatan.