Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda, singkap kisah lagenda Cik Siti

Menyebut nama Cik Siti di Kota Tinggi, Johor pasti mengimbau kisah lagenda mengenai seorang wanita yang berkahwin sebanyak 99 kali. Misterinya mengenai wanita ini bagaimana kesemua suami yang dinikahinya itu mati pada malam pertama. Mahu melihat kisah ini ke layar perak A. Aida Production memilih Nadia Brian memegang watak Cik Siti dalam filem terbaharunya berjudul Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.

Kongsi Nadia mendengar kisah ini sahaja sudah membuatkan dia teruja memandangkan kisah lagenda ini cukup unik pada pandangannya.

“Apabila mendengar sahaja tajuk filem ini, ia sudah membuatkan saya teruja. Apatah lagi, ia merupakan sebuah kisah mitos rakyat jelata yang sangat terkenal dan menjadi sebutan ramai.

“Bagaimanapun, bukan mudah untuk saya mendalami watak Cik Siti ini. Namun, sepanjang sebulan menjalani penggambaran, saya telah cuba berikan yang terbaik agar berjaya membawakan watak ini dengan berjaya,” katanya.

Nadia turut menambah antara cabaran yang perlu dilakonkan dalam filem ini ialah apabila dia perlu mahir bersilat dan berani berhadapan dengan binatang berbisa.

“Sebelum penggambaran saya dah tahu ada babak bersama ular dan kala jengking tetapi ingatkan ia menggunakan teknik CGI. Namun ketika penggambaran, barulah saya diberitahu saya perlu melakonkan sendiri babak dengan binatang-binatang tersebut,” ujarnya .