Nyonya Ronggeng telan belanja RM 6 Juta

Mempunyai objektif untuk memperkenalkan budaya Malaysia melalui filem, penerbit Datuk Seri Dr. Kc Lee dan Yingli Tan mahu Nyonya Ronggeng menjadi buah tangan pertama pihaknya untuk industri perlancongan di negara ini.

Tambah Dr. Kc pengalaman berpuluh tahun dalam bidang perlancongan membuatkan dia lebih yakin untuk melabur dalam filem bernilai RM 6 juta.

“Saya mempunyai pengalaman yang luas dalam pengurusan perlancongan di negara ini. Apa yang sering menjadi perhatian para pelancong adalah budaya unik negara kita. Sebab itu saya mahu bawa budaya peranakkan sebagai elemen utama filem ini.

“Apa yang membuatkan saya cukup yakin bagaimana filem mampu membantu ekonomi perlancongan negara adalah kejayaan filem Hong Kong berjudul Summer Holiday memperkenalkan Pulau Redang kepada dunia. Melalui kejayaan filem itu sehingga hari ini Pulau Redang menjadi destinasi pilihan ramai.

“Dalam memastikan filem ini diterima untuk satu jangka yang panjang kami mahu memberi satu maklumat yang jelas mengenai budaya kita. Termasuk cara hidup, makan, pakaian, sebab itu melakukan banyak kajian sejak dua tahun lepas mengenai kaum peranakan,”katanya dalam sidang akhbar semalam.

Tambahnya nilai RM 6 Juta yang akan dilaburkan dalam filem ini juga merangkumi pembinaan sebuah rumah Peranakan yang terletak di Bukit Bintang.

“Rumah Peranakan ini akan menjadi lokasi utama penggambaran filem ini kelak. Bernilai RM2.8 Juta, mengapa kami memilih untuk membina sendiri rumah Peranakan adalah kerana kami mahu mencari kelainan.

“Saya jangkakan filem yang akan memulakan penggambaran pada September ini akan mula ditayangkan Ogos tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu pelakon utama dan penerbit bersama, Yingli Tan memberitahu idea untuk menerbitkan filem Nyonya Ronggeng bermula apabila pengembaraannya sebagai pelakon di luar negara memberi peluang untuk rakan-rakannya bertanya mengenai Malaysia.

“Saya sering ditanya mengenai Malaysia ketika di luar negara. Bagaimana kita hidup cara makan dan sebagainya. Jujurnya kita mempunyai pelbagai budaya yang unik untuk ditonjolkan. Jadi melalui filem ini saya mahu tunjukkan kepada mereka budaya yang kita miliki,” katanya.

Sementara itu Nyonya Ronggeng arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin, mengisahkan seorang wanita bernama Rose yang merupakan seorang penari. Mengambil latar berlakang tahun 1950an antara babak yang akan dicipta semual dalam filem ini adalah kejadina 13 Mei dan hari kemerdekaan Negara.