RAMAI lelaki yang patah hati apabila gambar perkahwinan penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan tersebar, dua bulan lalu. Tidak kurang juga ada yang sukar percaya dengan kesahihan khabar tersebut sehingga bapanya, David Tan Suan Chew berkongsi foto perkahwinannya dalam laman Facebook.
Walau bagaimanapun, baru-baru ini Elizabeth Tan atau lebih mesra dipanggil Lizzy mengakui dia dan suami tidak tinggal sebumbung sejak mereka berkahwin.
Katanya, “Suami memilih untuk tinggal bersama ibunya. Sebagai anak bongsu, saya pula tidak bersedia meninggalkan ibu saya.
…Dari awal perkahwinan, kami sudah membuat perjanjian untuk tinggal berasingan. Kami hanya akan berjumpa apabila perlu. Mungkin seminggu atau dua minggu sekali”, jelasnya lagi.
Menurut Lizzy, dia seronok dengan kehidupan seperti ini kerana sekurang-kurangnya saya dan suami mempunyai ruang sendiri, memandangkan mereka berdua belum bersedia untuk berjauhan dengan ibu masing-masing.
Dalam pada itu, pelantun yang pernah popular dengan lagu Knock Knock itu juga mendedahkan bahawa dia kehilangan beratus-ratus pengikut di Instagram sejak berkahwin dan tidak menyangka ugutan peminat untuk unfollow dirinya di media sosial adalah benar.
Selain itu, dia juga berkongsi bahawa kehidupannya tidak banyak yang berubah walaupun sudah bergelar sebagai seorang isteri.
Bagi perkembangan terbaru, Lizzy kini sedang sibuk dengan penggambaran siri terbaru berjudul Gerak Khas Undercover dan bakal menjayakan sebuah telefilem bersama Hazama, selain muncul dalam karya untuk tayangan platform iflix.
Sumber: Berita Harian