Menyamar pegawai kanan polis berpangkat ‘Datuk’ nak rentas negeri

CUBAAN nasib seorang lelaki untuk rentas negeri dengan menyamar sebagai anggota polis berpangkat ‘Datuk’ bagaimanapun tidak kesampaian apabila suspek gagal mengemukakan kad identiti.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisoner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek merupakan warga emas berusia 65 tahun yang hadir memohon permit rentas negeri di Balai Polis Petaling Jaya Jumaat lalu.

“Suspek bertindak menunjukkan gambarnya berpakaian uniform lengkap pada skrin telefon bimbit dan mengaku sebagai pegawai kanan polis berpangkat ACP dengan gelaran Datuk.

“Suspek gagal mengemukakan kad identiti dan telah ditahan sebagai penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin memaklumkan, suspek telah direman selama sehari bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tegasnya lagi, perbuatan menyamar sebagai penjawat awam merupakan satu kesalahan serius serta boleh dikenakan tindakan tegas sekiranya ada cubaan memalsukan dokumen dan sebagainya.