BTS cipta sejarah, jadi artis Asia pertama raih Anugerah IFPI 2020

KUMPULAN Kpop terkenal , BTS meraih Anugerah Artis Rakaman Terbaik anjuran Persekutuan Antarabangsa Industri Fonografi (IFPI) tahun 2020.

Kejayaan itu sekaligus mencatatkan rekod sebagai artis pertama Asia yang menjulang trofi tersebut.

Kumpulan itu menduduki tangga pertama menewaskan Taylor Swift, Drake, The Weeknd, Billie Eilish, Eminem, Post Malone, Ariana Grande, Juice Wrld dan Justin Bieber untuk edisi kali ini.

Antara artis antarabangsa yang pernah meraih anugerah yang sama ialah Taylor Swift, Drake, One Direction, Adele dan Ed Sheeran.

IFPI adalah organisasi bukan keuntungan yang mewakili industri muzik rakaman di seluruh dunia.

Anugerah Artis Rakaman Terbaik anjurannya mengiktiraf artis daripada segi populariti muzik digital dan album fizikal, serta keseluruhan pencapaian kerjaya mereka.