Beri bayangan mahu berehat, perkongsian Faizal Tahir cetus tanda tanya peminat

PENYANYI serta komposer Faizal Tahir mengundang pelbagai reaksi dari banyak pihak apabila beliau mengumumkan Qibla adalah hadiah terakhir sebelum berehat daripada industri.

Menurut Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, selama 17 tahun penglibatannya sebagai seorang penyanyi, keputusan itu diambil setelah berbincang dengan pihak pengurusan.

Faizal Tahir berkata, “sejak dari Assalamualaikum tahun 2015, seperti tiada rehat langsung untuk saya. Jadi, mungkin saya akan berehat dan fokus kepada Faithful Publishing”.

Faizal yang sebelum ini popular dengan lagu Mahakarya Cinta dan Assalamualaikum menambah, antara yang ingin dilakukan beliau dalam tempoh berehat adalah ingin fokus kepada keluarga tersayang.

Dalam pada itu, Faizal, 43, juga ingin mencuba hobi yang baru sepanjang berehat. Selain mengurus hal peribadi, beliau akan meluangkan masa untuk menggerakkan Faithful Publishing bagi mencari pelapis dan mencungkil bakat baharu dalam bidang komposisi dan penerbitan muzik.

Bersempena Ramadan, dia juga telah melancarkan sebuah box set berserta koleksi audio berjudul Qibla. Qibla akan memuatkan 3 buah lagu dan juga 10 klip audio tadabbur yang dipilih dan dibaca oleh Faizal Tahir sendiri. Selain itu, cenderahati istimewa seperti sampul duit raya, tasbih, selendang dan kurma akan disertakan di dalam box set.

Baru-baru ini, Faizal dan kumpulan nasyid Mirwana mengembalikan nostalgia menerusi salah satu lagu yang dimuatkan dalam Qibla iaitu Aku Tanpa CintaMu 2021 yang sebelum ini pernah dipopularkan bersama penyanyi Jay Jay. Lagu yang diberi nafas baru itu telah mendapat sambutan yang baik dan memanjat nombor satu dalam carta Pop Terkini Spotify Malaysia dan trending di Youtube dalam masa 3 hari selepas dimuat naik.

Untuk pengetahuan, sebelum memulakan kerjaya sebagai penyanyi solo, Faizal merupakan salah seorang anggota Mirwana.