Apak Harry Khalifah ‘steady’ hadap PKP, siap jadi pengarah drama pendek Youtube!

KOMPOSER dan penyanyi Apak Harry Khalifah berjaya membuktikan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah tempoh untuk bersenang lenang sambil meratapi nasib diri kerana tidak dapat keluar mencari rezeki.

Dan buat Apak, dia menggunakan sepenuhnya masa di rumah dengan menghasilkan karya-karya drama pendek untuk dimuat naik di saluran Youtube peribadinya. Lebih membanggakan, dia juga menjadi pengarah bagi drama terbitannya itu sendiri.

“Ibarat sebuah rumah, kalau sekadar ada namun tidak diisi perabot pun tiada guna.

“Jadi saya ambil keputusan untuk isi saluran Youtube Apak channel dengan content terbitan saya sendiri.

Saluran Youtube Apak Channel dapat sambutan hangat.

Dalam pada itu, Apak juga menjelaskan drama 4 Dara arahannya itu telah mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.

Malah ujar penyanyi yang terkenal dengan lagu Suaramu Syairku mendedahkan bakal melancarkan drama pendek terbaharu dalam masa terdekat.

“Drama 4 Dara membuat saya tergamam, mana tidaknya apabila ia mendapat sambutan tak terjangka daripada peminat. Dapat la juga sedikit bayaran daripada pihak Youtube biarpun tidak banyak, boleh juga tampung perbelanjaan barang dapur.

“Malah saya makin bersemangat untuk jadi pengarah dan sudah siapkan sebuah lagi drama pendek berjudul Mat Rocker yang akan ditayangkan bila-bila masa sahaja. Peminat perlu tunggu dan subscribe ke saluran Apak Channel untuk menjadi antara yang terawal menonton drama pendek kedua arahan saya.

Dalam perkembangan lain, Apak turut meluahkan rasa syukur apabila laman rasmi Facebooknya kini sudah mendapat pengiktirafan verified daripada pihak Facebook sendiri.

Malah laman tersebut kini mendapat lebih 1 juta tanda suka.

Facebook rasmi Apak dapat pengiktirafan verified.

“Alhamdulillah, beberapa hari lalu saya dikejutkan dengan menerima verified badge di Facebook.

“Dah bertahun saya cuba untuk disahkan oleh pihak Facebook, baru sekarang merasa. Terima kasih juga kepada semua pengikut dan peminat setia saya yang tak jemu memberi sokongan kepada hasil seni saya selama ini.