PANDAI berlakon rupanya. Seorang lelaki warga Britain yang membelanjakan hampir 300 pound (RM1,654) untuk merawat anjing peliharaannya yang dipercayai cedera dan tempang, terkejut selepas mengetahui rupanya tiada apa-apa berlaku dengan haiwan tersebut, lapor Utusan Malaysia.
Sebaliknya, anjing itu hanya meniru tuannya yang berjalan tempang kerana berasa simpati dengan nasib lelaki tersebut.
Memetik laporan asal portal Oddity Central, Russell Jones tidak dapat berjalan seperti biasa selepas patah pergelangan kakinya dalam satu kemalangan yang berlaku pada tahun lalu.
Kata Jones, pada suatu hari ketika keluar bersama anjingnya, Billy, dia mendapati haiwan itu berjalan tempang sepertinya.
Menurut Jones, teman wanitanya, Michelle juga menyedari Billy meniru gaya jalannya sehingga terpaksa membawa anjing itu untuk berjumpa dengan doktor haiwan.
Jelasnya, hanya selepas membelanjakan sebanyak RM1,654 untuk melakukan beberapa pemeriksaan dan x-ray, dia mendapat tahu bahawa Billy meniru jalannya atas rasa simpati.
“Saya berasa bimbang sesuatu telah berlaku kepada Billy, jadi kami terus membawanya untuk berjumpa doktor namun mereka tidak dapat mengesan sebarang masalah dengannya,” katanya.
Satu rakaman video memaparkan Jones dan Billy berjalan tempang ketika berada di luar menjadi viral di laman media sosial sehingga kebanyakan warganet berasa kagum dengan kemahiran lakonan anjing itu.
Sumber: Utusan Malaysia