Teknik Nyanyi Ikut Hukum Tajwid Rahsia Lagu P.Ramlee Terus Diingati – Ustaz Kazim

    Gambar : Bernama / IMDB

    LAGU nyanyian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee terus meniti di bibir peminatnya sehingga ke hari ini kerana menerapkan unsur sebutan mengikut hukum tajwid, kata pendakwah selebriti, Ustaz Mohd Kazim Elias.

    Memetik laporan Harian Metro, Ustaz Kazim berkata kaedah yang diamalkan P Ramlee meninggalkan kesan tersendiri buat pendengar biarpun selepas 50 tahun pemergian insan berbakat besar itu.

    “Bila P Ramlee buat lagu, lagunya bukan sahaja ‘meletup’ (terkenal) tetapi menikam hati kerana beliau menggunakan kaedah bacaan al-Quran dalam membentuk bait lirik, melodi dan irama nyanyiannya.

    “Misalnya dalam lirik malam bulan dipagar bintang, suku kata awalan malam iaitu ma atau huruf jawinya ‘mim’, ‘alif’ adalah hukum mad asli dan tidak boleh lebih dua harakat.

    “Sementara, bagi suku kata akhiran lam (bagi malam) atau huruf jawinya ‘lam’ apabila bertemu huruf ‘ba’ (suku kata awalan bulan) ia menjadi idgham dan sebutannya juga menjadi dua harakat.

    “Sama seperti lirik ‘di mana kan ku cari ganti serupa denganmu’ yang dibaca mengikut hukum tajwid sama ada panjang atau pendek jadi beliau ambil seni (bacaan) al-Quran,” katanya.

    Terdahulu beliau menyampaikan ceramah bertajuk ‘Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Ikon Perpaduan Kaum dan Usaha Meningkatkan Syiar Islam Melalui Karya Seninya di Masjid Negeri Pulau Pinang, semalam.

    USTAZ Kazim (kanan) menyampaikan ceramah pada Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil serta Ceramah Perdana Khas Sempena 50 Tahun Pemergian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di Masjid Negeri Pulau Pinang | Gabar : Mikail Ong.

    Ustaz Kazim berkata, sebelum bergiat aktif berceramah sekitar tahun 1990 beliau berkhidmat sebagai guru tahfiz selain bertugas sebagai pensyarah seterusnya membuka akademi pendidikan al-Quran.

    Justeru, beliau berkata ilmu berhubung teknik bacaan al-Quran termasuk meliputi hukum tajwid dikuasai sebelum bergelar penceramah bebas.

    Malah, beliau turut menggunakan teknik membaca ayat bahasa Melayu menggunakan huruf jawi kepada pelajar yang kurang mahir bacaan al-Quran.

    “Saya ada mengajar mereka yang berusia dan ada yang tidak mahir membaca al-Quran jadi saya tulis ayat bahasa Melayu menggunakan tulisan jawi dan meminta mereka menyebut mengikut hukum tajwid.

    “Jadi P Ramlee ini beliau buat lagu, tulis jawi baca dalam tajwid dan beliau buktikan lagu nyanyiannya kekal terngiang-ngiang dan tidak jemu didengar sampai sekarang,” katanya.

    Terdahulu program anjuran Arkib Negara itu dimulakan dengan bacaan surah yasin dan tahlil yang turut yang dihadiri Yang di-Pertua negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang Tan Sri Dr Mohd Yusoff Latiff dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman, berkata program itu satu daripada pengisian kepada program tribute 50 Tahun Pemergian Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang diadakan sepanjang 2023.

    P Ramlee adalah satu nama besar dalam sejarah seni, budaya serta berjaya membentuk cara, gaya dan disiplin tersendiri sekali gus menjadikan karyanya malar segar dalam sanubari anak bangsa sehingga kini.

    Sumber : Harian Metro