Pengalaman Mawi Disihir Sehingga Tidak Sedarkan Diri Selama 15 Minit

Mawi | Gambar : Mstar

PENYANYI, pengarah dan penyampai radio, Mawi mendedahkan dia pernah mengalami situasi menakutkan apabila ‘seolah-olah mati’ selama 15 minit dipercayai akibat terkena sihir.

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 41, berkata, kejadian yang berlaku tujuh tahun lalu itu amat menakutkan dan menginsafkan kerana hampir-hampir meragut nyawanya.

“Ketika itu saya tidak sedarkan diri seolah-olah mati selama 15 minit. Saya sedar semula apabila bahagian kepala terasa sejuk dan mendapati isteri saya, Ekin sedang membasahkan kepala saya.

“Ketika itu dia meraung dan menangis sambil mengelap darah yang berlumuran di seluruh badan saya. Kejadian ini turut disaksikan oleh kembar Ekin iaitu Ain dan bapa saudara saya yang berada di hospital ketika itu.

“Saya memang tak ingat apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui Harian Metro di majlis kesyukuran Wan Ajaib dan Mawi World bersama media, semalam.

Menurutnya, Ekin dilihat mengelap dan mencuci darah yang keluar daripada mulutnya yang dengan darah itu membuak keluar seperti ‘lava’ gunung berapi.

“Disebabkan kejadian itu, saya hampir membuat keputusan untuk berhenti daripada dunia hiburan. Rasa fobia juga selepas apa yang terjadi. Ekin pun minta saya berhenti menyanyi dan keluar dari industri hiburan.

“Saya berfikir juga tapi saya suka menyanyi, berlakon, buat filem dan sebagainya. Allah sudah letak saya di sini, jadi saya buat yang terbaik saja dan tawakal.

“Selepas kejadian itu saya suka menulis skrip dan mengarah. Saya lebih jadi seorang pemikir. Ketika itu juga datang tawaran mengarah. Sejak itu saya lebih ghairah dalam dunia pengarahan,” katanya.

Mawi berkata, peristiwa yang berlaku ketika dia berusia 34 tahun itu membuatkan dia terpaksa menyepikan diri daripada industri hiburan buat sementara waktu.

Bagaimanapun, Mawi tidak menuduh atau mengesyaki ia kerja sihir mana-mana pihak, sebaliknya bertindak memperbaiki kekurangan dirinya.

“Saya tetap menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati terhadap sihir dan juga perkara ghaib. Kita tak tahu dan saya pun tidak pernah menuduh. Jujurnya, saya bersyukur Allah beri saya rasa semua itu dan saya akui semua itu menginsafkan saya.

“Sihir ini wujud, jadi kita sentiasa beringat. Selain solat sunat dan membaca Al-Quran, amalkan zikir seperti Asmaul Husna, Allah ada 99 nama, satu hari kita sebut satu nama berulang-ulang pun sudah memadai,” katanya.

Baginya, kejadian pendakwah dan penceramah bebas popular, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim yang dikatakan disihir bukanlah mustahil kerana dia pernah mengalaminya sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, Mawi memaklumkan filem terbaru arahannya, Zim Zim Ala Kazim yang diinspirasikan dari pengalaman sebenar dilalui Ustaz Kazim mendapat reaksi positif daripada bakal pengedar.

“Mulanya nak ditayangkan di Astro First tapi mereka yang dah tonton puji dan kata patut ditayangkan di pawagam. Jadi saya kena buat beberapa perubahan bagi membolehkan ia ditayangkan di pawagam nanti,” katanya.

Sumber : Harian Metro