Warga Asing Ditahan Jadi Ah Long, Target Mangsa Kerja Kilang

GEORGE TOWN, September- Seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen atau along dalam serbuan di sebuah rumah di Bayan Baru, Rabu lepas.

Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya menerusi satu kenyataan memaklumkan lelaki berusia berusia 27 itu bekerja sebagai operator kilang di kawasan Bayan Lepas dengan menggunakan pas lawatan sejak 2014.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek disyaki menjalankan kegiatan along sejak tahun lepas dengan menyasarkan pekerja kilang di sekitar Bayan Lepas.

“Lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” menurut kenyataan itu.

Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan sama ada suspek turut melakukan ugutan jenayah jika peminjam gagal menbayar hutang.