Dapatkan Tauliah, Tidak Perlu Kecil Hati Jika Tidak Dibenarkan Berceramah Di Negeri Lain

IPOH, 15 September- Mana-mana pihak yang tidak mempunyai tauliah mengajar dinasihati agar tidak menyalahkan jabatan agama jika tidak diberikan kebenaran berceramah di negeri lain.

Pendakwah bebas Datuk Mohamad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berkata malah, beliau sendiri yang telah berkecimpung selama 33 tahun sebagai pendakwah, turut tidak dibenarkan mengadakan ceramah di beberapa negeri dengan alasan tidak mempunyai pentauliah di negeri tersebut.

“Bagi saya mudah. Kita pergilah berceramah di tempat yang kita punya dapat tauliah mengajar dan jika saya hanya dapat mengajar di Perak umpamanya maka bagilah ceramah di Perak sahaja, mengapa nak kecil hati kalau tak dapat berceramah di negeri lain.

“Kita kena terima kita ada peraturan yang perlu kita patuhi walau sesiapa pun kita dan penangguhan ini bukan melibatkan ceramah kuliah maghrib guru takmir yang tetap berjalan macam biasa, tetapi ini hanya melibatkan penceramah luar,” katanya.

Ustaz Kazim menjelaskan, semua pendakwah sama ada dalam mahupun luar Perak perlu mengikut peraturan berdakwah seperti yang ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selaku pembuat dasar kepada agensi agama di negeri ini.

Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hanya menangguhkan sementara aktiviti mengajar dan syarahan bagi penceramah dari luar negara dan luar negeri Perak sama ada bertauliah atau tanpa tauliah mengajar di dalam masjid, surau dan surau diri Jumaat (SDJ).

“Perak bukan negeri pertama melakukan perkara ini (penambahbaikan) kerana negeri-negeri lain sudah terlebih dahulu melaksanakannya dan kita tak perlu terkejut pun kerana ada negeri sudah empat tahun dah lakukan.

“Penangguhan yang dibuat oleh JAIPk bukan untuk menghalang atau menyusahkan seseorang yang ingin mengajar agama sebaliknya sebagai langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam.

Beliau berkata demikian selepas menerima Watikah Tokoh Agama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Peringkat Negeri Perak di Dewan Annuar Mat Taib, Pusat Pendidikan Al Barakah.

Sebelum ini, Pengarah JAIPk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata penangguhan berlaku ekoran proses penambahbaikan yang sedang dibuat terhadap Garis Panduan Permohonan Penceramah dan Pengajar di masjid dan surau di negeri itu.