[Video] “You Mau Pergi KL Kan? Jangan Patah Balik” – Lelaki Kongsi Pengalaman Guna Jalan Tikus

Ramai yang terpaksa menghadap kesesakan lalu lintas setiap kali musim perayaan tiba. Lebuhraya Utara Selatan antara lebuhraya tumpuan seluruh rakyat Malaysia untuk pulang ke kampung halaman.

Ada juga yang memilih untuk menggunakan jalan kampung atau ‘jalan tikus’ untuk elakkan tersangkut berbelas jam di atas lebuhraya.

Zairul Annuar antara rakyat Malaysia yang memilih untuk menggunakan ‘jalan tikus’ untuk pulang ke rumahnya di Nilai. Siapa sangka pengalaman 3 kilometer menggunakan jalan tersebut menjadi kenangan manis buatnya sekeluarga.

TIGA KM MENGGUNAKAN JALAN TIKUS.

Kisah sewaktu di perjalanan pulang menuju Kuala Lumpur pada hari raya.

Awalnya kami menggunakan lebuhraya dari Simpang Pulai untuk menuju ke arah selatan. Namun oleh kerana jalan terlalu sesak, kami terpaksa masuk semula melewati susur Gopeng untuk menggunakan jalan dalam.

Di sepanjang perjalanan kami telah menggunakan aplikasi Google Maps (GM). Alhamdulillah aplikasi tersebut sentiasa memberikan notifikasi terkini berkenaan kesesakan lalu lintas.

Oleh kerana jalan dalam masih sedikit sesak, isteri telah menawarkan diri untuk menjadi pemandu kerana bosan duduk di sebelah penumpang dan meminta saya fokus menjadi navigator kerana dia lemah dalam membaca peta (saya faham, teringat buku berjudul Why Men Don’t Listen and Women Can’t Read Maps ).

Sewaktu menghampiri daerah Ladang Bikam, aplikasi GM memaklumkan ada kesesakan teruk di hadapan dan bertanya adakah kami mahu menggunakan jalan alternatif. Tanpa berfikir, saya langsung setuju kerana melihat jalur merah yang panjang di aplikasi.

Alhamdulillah jalur baru di GM kini menunjukkan warna biru sebagai tanda lancar. Namun kami telah dibawa menggunakan jalan kampung yang akhirnya sampai ke sebuah kawasan perumahan kecil.

Selepas melewati perumahan itu, kami sampai di jalan yang tidak bertar, masuk ke ladang kelapa sawit yang gelap. Kami melanjutkan juga perjalanan perlahan-lahan. Kelihatan beberapa kereta dari arah bertentangan dan mereka berhenti di samping kami sambil memberitahu jalan di hadapan tak dapat digunakan.

 

Mereka mengarahkan kami agar berpatah balik. Semua kereta dibelakang kami juga diminta melakukan perkara yang sama. Setelah berpatah balik, kami telah sampai semula ke kawasan perumahan tadi. Tiba-tiba kereta kami diberhentikan oleh sekumpulan lelaki berbangsa cina.

 “Boss, u mau pigi KL kan? Jangan patah balik. Itu tadi depan u tak boleh jalan kan? Takpa. Kita bawa backhoe kasi repair itu jalan. U tunggu sekejap. Kalau u patah balik pun tak da guna, jalan Ladang Bikam sana jem manyak teruk sebab ada accident. Nanti u sudah keluar nanti ini jalan, jangan ikut Ladang Bikam, u ikut jalan Bidor sampai KL” ujar seorang lelaki cina pertengahan umur.

Rupanya kawasan itu adalah kawasan perumahan cina. Mereka telah sama-sama berpakat untuk membantu melancarkan perjalanan kenderaan yang melewati kawasan perumahan mereka. Pada masa yang sama kami lihat sebuah backhoe bergerak laju melepasi kami dari arah bertentangan.

Kami pun berpatah balik semula ke arah jalan tadi seperti yang diarahkan. Sebaik sampai di tempat itu, jalan telah hampir siap untuk dilalui.

“Ini kerja sekejap saja. Jalan ada sikit bukit, susah kereta biasa mau jalan, 4WD saja boleh, now kita kasi rata, so semua orang boleh jalan. Tapi ini jalan takde internet saja la” ujar seorang lelaki di situ.

 Hati saya rasa terharu. Penduduk cina di sini ada sikap peduli mahu membantu kelancaran perjalanan orang-orang melayu pulang dari kampung menuju ke Kuala Lumpur. Mereka keluar rumah sama-sama bergotong royong.

Hebat orang-orang cina Perak. Power. Ini barulah bangsa Malaysia. 

Jarak perjalanan sepanjang kelapa sawit tersebut adalah sejauh lebih kurang 3 km. Tiba-tiba seekor tikus melintas di depan kenderaan kami. Spontan isteri saya berkata “Oh patut la orang panggil jalan tikus.”

Saya : hmmm

Saya telah mengambil alih pemanduan sebaik tiba di jalan utama. Kami bertolak dari Ipoh dari jam 7.30 malam dan alhamdulillah selamat sampai di Nilai pada jam 2.00 pagi.

 Sumber : Facebook Zairul Annuar