Pertengkaran antara seorang lelaki dan wanita bertukar tragedi apabila kedua-duanya jatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada Isnin.
Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Shahrul Munawer Taharen, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 7.49 malam.
Kedua-dua individu tersebut menaiki kereta jenis Honda Civic yang memberhentikan kenderaan itu di jambatan.
“Difahamkan berlaku pertelingkahan membabitkan kedua-duanya sebelum mereka terjatuh ke laut.
“Terdapat seorang lelaki yang juga orang awam di lokasi, terjun menyelamatkan mangsa,” katanya dihubungi.
Mangsa diselamatkan oleh orang awam yang dipercayai seorang anggota tentera. Mangsa kemudian dibawa menaiki bot nelayan yang kebetulan berada di lokasi.
Katanya, mereka dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban sebelum diberikan rawatan awal.
“Kedua-dua mangsa berusia 30-an yang mana lelaki itu cedera di kepala dan mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan.
“Kes diserah kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 8.35 malam,” katanya.
View this post on Instagram
Video kedua-dua mangsa terapung di laut menjadi tular di media sosial dan ada pihak mendakwa mereka merupakan pasangan kekasih.