Ustazah Norhafizah Digantikan Dengan Orang Lain, Atas Arahan Pihak Atasan

Foto: Ku Lihat Langit Biru

PUTRAJAYA – Nama penceramah bebas, Datuk Dr. Norhafizah Musa digugurkan pada program Muslimah Putrajaya Berselawat 24 September ini berikutan terdapat aduan daripada pihak mempertikaikan penglibatan penceramah bebas pada program berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, selaku rakan kerjasama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) telah mengadakan perbincangan bersama penganjur utama program dan kesepakatan telah dipersetujui supaya langkah tersebut diambil bagi mengelakkan isu berbangkit timbul.

“Maka nama Norhafizah telah digantikan dengan tokoh lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, beliau berharap agar isu ini tidak diperbesarkan dan menjadi hak penganjur untuk menentukan keputusan bagi memastikan program tersebut berjalan lancar.

Terdahulu, tular isu berkenaan kenyataan Norhafizah yang mendakwa namanya digugurkan dari program tersebut atas arahan pihak atasan.

Pada masa sama, Norhafizah berharap ketiadaannya pada program itu tidak menjadi persoalan kepada pengunjung yang sudah membeli tiket. 

Sumber: Kosmo