Uji Siren Amaran Tsunami Esok Pagi Di Kedah, Pulau Pinang, Penduduk Diminta Tidak Panik

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan melaksanakan pengujian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) bagi empat lokasi di Kedah dan Pulau Pinang yang bakal bermula seawal pukul 9 pagi esok.

Menurut MetMalaysia, bagi negeri Kedah, hanya satu lokasi sahaja terlibat iaitu Masjid Putra, Kuala Kedah yang akan bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Seterusnya, tiga lokasi lain adalah di negeri Pulau Pinang iaitu di Kem Wawasan Negara I-Lead Balik Pulau, Pasir Panjang, Jeti Nelayan Kuala Sungai Burung dan pintu masuk kedua Taman Negara Kuala Sungai Pinang.

Katanya, pelaksanaan pengujian siren di ketiga-ketiga lokasi tersebut akan dilakukan serentak iaitu bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.

Sehubungan itu, MetMalaysia meminta penduduk di kawasan sekitar agar tidak panik dengan bunyi siren tersebut kerana ia merupakan suatu ujian sahaja. 

Sumber gambar – Viator | Sumber laporan – Kosmo! Online