Ugut Bunuh PM, Pemilik Akaun Tiktok Akan Didakwa Esok

Seorang pemilik akaun Tiktok, @jaiadani89 yang melakukan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal dituduh di mahkamah esok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ibu pejabat polis Bukit Aman, pemilik akaun itu akan didakwa di Mahkamah Siber, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada pukul 9 pagi.

Pertuduhan ke atas suspek berusia 34 tahun itu akan dikemukakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada November lalu, individu berkenaan telah ditahan di Jalan Padang Tembak, Kota Bharu Kelantan selepas memuat naik sebuah video yang menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik.

Bagaimanapun, video berkenaan dipadamkan selepas itu.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kes itu disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Sumber : Awani