Ubat gigi ganja dikirim kepada Menteri Ekonomi & PM: Rafizi jelas tak ambil ganja, pengirim membazir duit

MENTERI Ekonomi Rafizi Ramli menegaskan beliau tidak mengenali pihak yang menghantar bungkusan berisi ubat gigi ekstrak daun ganja, yang dihantar ke alamatnya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pulau Meranti, Jumaat lalu.

Jelasnya, bungkusan tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, lapor Harian Metro.

“Dua-dua kami tidak ambil ganja, jadi itu pembaziran dan bungkusan itu sudah dihantar ke polis,” katanya kepada Harian Metro pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Rafizi berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai rampasan bungkusan mengandungi ekstrak ganja yang dialamatkan kepadanya dan Perdana Menteri.

Semalam, Polis Sepang memaklum mereka telah merampas bungkusan disyaki ubat gigi ekstrak daun ganja yang dialamatkan kepada Rafizi dan Anwar di sebuah syarikat kurier di Pulau Meranti pada Jumaat.

Rampasan itu dilakukan selepas mereka menerima laporan daripada seorang petugas pejabat kerajaan di sini yang menerima panggilan menyatakan ada satu bungkusan atas nama dua ahli politik berkenaan.

Polis merampas satu tiub ubat gigi berpenutup hijau dan putih bercorak daun ganja tertera tulisan ‘Happy Green’ seberat 80 gram dalam bungkusan kotak berwarna coklat.

Hasil semakan polis mendapati ubat gigi tersebut dibeli pengirim melalui satu platform beli-belah dalam talian beralamat di Indonesia.

Sumber gambar – Wikipedia | Sumber laporan – Harian Metro