Tindakan Tegas Terhadap Penunggang Agama – PM

Foto : the star

KUALA LUMPUR – Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mempermainkan serta menunggang agama Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengemukakan cadangan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Billah Shah.

Beliau berkata cadangan itu juga telah dikemukakan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah setelah dibincangkan bersama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Tunggu 12 Ogos, selepas itu apapun keputusan (selepas hari pengundian Pilihan Raya Negeri PRN)…Ini bukan soal politik, saya tidak peduli dia sokong siapa, itu hak dia.

“Tetapi kalau kamu tunggang agama, permainkan hukum Allah, menghukum orang, memfitnah orang, fitnah yang besar, nak kafirkan orang yang tak sokong dia adalah musuh Allah…saya nak beritahu malam ini…kita tidak akan bertolak ansur dengan karut ini,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata cadangan tersebut adalah bagi mempertahankan kepentingan semua rakyat Malaysia, bukan sahaja buat kaum Melayu. 

“Ya kita tingkatkan fahaman Islam, penghayatan Islam. Kita tingkatkan penguasaan Bahasa Melayu dan mantapkan martabat Bahasa Melayu (sebagai) bahasa pengantara dan bahasa ilmu. Kita jamin keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dan kita muliakan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Tetapi dengar sini baik-baik, jangan kita hina mana-mana anak Malaysia daripada mana-mana kaum…Setiap rakyat, baik Dayak di Kapit, Cina, India beragama Hindu, semua itu warga kita dan mesti kita pertahankan, ” katanya. 

Jelas Perdana Menteri, ini kerana rakyat daripada semua kaum di Malaysia berhak untuk disantuni dan mendapat pembelaan.

“Ini bukan mainan campur-tolak. Saya sokong orang Melayu dan ini bukan bermakna saya akan singkir orang Cina… Saya tegaskan sekarang, negara ini mesti selamat. Negara ini mesti menyatuni semua rakyat,” katanya.